LOS ANGELES: Perbicaraan paling dinanti-nantikan berhubung kematian penyanyi pop terkenal, Michael Jackson, dimulakan dengan pendakwa memulakan ucapan pembukaan dan menayangkan gambar mayat bintang kulit hitam itu.
Ketika Dr Conrad Murray, yang didakwa membunuh penyanyi itu tanpa niat lebih dua tahun lalu muncul di depan juri, timbalan peguam daerah, David Walgren menayangkan gambar yang menampakkan wajah penyanyi itu.
Sesi perbicaraan itu kelihatan seperti sarkas, apabila peminat Jackson dan penyokong Dr Murray berkumpul di luar kamar mahkamah di Los Angeles menjulang sepanduk dan kain rentang ketika seluruh keluarga penyanyi itu memasuki mahkamah untuk mengikuti apa yang disifatkan sebagai perbicaraan abad ini.
Pendakwa kemudian menyiarkan rakaman menunjukkan Jackson yang sihat membuat persembahan terakhirnya, latihan lagu popular, Earth Song, yang dirakamkan sehari sebelum dia meninggal dunia.
Lampu dalam kamar mahkamah ditutup dan penyanyi itu ditunjuk di skrin sedang mempersembahkan lagu Earth Song pada sesi latihan di Pusat Staples di Los Angeles, beberapa jam sebelum meninggal dunia.
Ibu Jackson, Katherine, kelihatan menangis menonton klip itu.
MJ mati kerana pembunuhan
“Kematian Michael Jackson adalah pembunuhan. Bukti menunjukkan dia meletakkan nyawanya di tangan Conrad Murray. Michael Jackson mempertaruhkan nyawa mempercayai skil perubatan Conrad Murray.
“Bukti menunjukkan kepercayaan yang tidak kena pada tempatnya adalah terlalu tinggi nilainya, iaitu nyawa Michael Jackson,” kata Walgren kepada juri dalam hujah pembukaan.
Bagaimanapun, peguam Dr Mur-ray, Ed Chernoff, memberitahu juri, kematian Jackson disebabkan dirinya sendiri.
Dr Murray kelihatan mengelap air mata ketika Chernoff berkata bukti akan menunjukkan penyanyi berkenaan menelan lapan butir pil Lorazepam dan menyuntik diri dengan satu dos propofol.
“Jumlah itu sudah lebih daripada cukup untuk membunuhnya dengan cepat,” kata Chernoff.
Beliau berkata, Jackson yang kecewa kerana tidak dapat tidur dan kerana doktornya enggan memberikan dia ubat yang dikehendaki, melakukan tindakan yang menyebabkan kematiannya.
Ketika Chernoff mempersembahkan hujah pembukaannya, dia menaikkan poster dengan nama Michael Jackson tersilap ejaan.
“Dia meninggal dunia begitu cepat sehingga tidak ada masa menutup matanya,” kata Chernoff.
Ibu bapa Jackson dan adik beradiknya, Janet, La Toya, Tito, Randy dan Jermaine berada di kamar mahkamah untuk mendengar hujah pembukaan dalam perbicaraan doktor peribadi penyanyi itu, yang juga orang terakhir melihat bintang pop itu masih hidup.
Agensi
No comments:
Post a Comment
kunjungan semula akan dilakukan..tq