Pages

Tuesday, December 29, 2009

RoKok@RoKaK...


Perokok dianggap orang kaya selepas harga baru

KUALA LUMPUR: Tabiat tidak merokok mungkin dicadangkan sebagai prasyarat untuk belia dan pelajar yang memohon bantuan kerajaan, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata, perokok tidak layak memperoleh bantuan kerajaan kerana penetapan harga minimum rokok RM6.40 bagi 20 batang mulai Jumaat ini, menjadikan ia sebagai barangan mewah yang hanya layak dimiliki oleh orang kaya.




Katanya, cadangan itu disuarakan kerana banyak pihak terutama selepas belia dan pelajar masih mampu membeli rokok meskipun harga rokok sudah beberapa kali dinaikkan.

"Menjadikan rokok sebagai barang tidak mudah dicapai, mahal serta menganggap perokok sebagai orang kaya akan memastikan belia yang merokok tidak akan merengek pada kementerian untuk mendapatkan bantuan kerana mendakwa mereka miskin.

"Kita akan katakan pada perokok bahawa mereka tidak berhak untuk meminta apa-apa kerana rokok adalah barang mewah sebagaimana orang kaya memakai kereta Mercedes atau Ferrari.

"Melainkan ada orang yang ingin kekal dengan cara hidup begitu dan dikaitkan dengan orang kaya, itu pilihan mereka dan mereka mesti bayar," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Persidangan Belia Negara di sini, semalam.

Beliau juga melepaskan 70 peserta Ekspedisi 1Belia 1Malaysia ke 10 negeri di Semenanjung membabitkan perjalanan sejauh lebih 4,000 kilometer yang dijangka mengambil masa enam hari berakhir 2 Januari ini.

Semalam akhbar melaporkan mengenai penetapan harga minimum rokok apabila Kementerian Kesihatan menguatkuasakan Peraturan Harga Minimum Rokok dan Larangan Promosi Harga menerusi Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) (No.2) 2009 yang diwartakan.

Ahmad Shabery berkata, pertimbangan sama juga boleh digunakan terhadap pelbagai penerima bantuan, termasuk peserta Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Katanya, walaupun tiada peruntukan undang-undang mengenainya, ia sepatutnya dijadikan pertimbangan sebelum memutuskan pihak yang layak menerima bantuan, sekali gus dapat membersihkan senarai penerima bantuan dalam pangkalan data e-Kasih.

"Pada saya rokok adalah barang mewah yang tak sepatutnya dimiliki oleh penerima bantuan dan mereka tidak layak memohon sebarang bantuan kerajaan," katanya

Mengulas cadangan pelbagai pihak supaya kementerian itu turut mempertimbangkan untuk menyalurkan hasil cukai rokok pada pembangunan sukan lain selain bola sepak, Ahmad Shabery berkata dana itu boleh disalurkan pada pelbagai kegiatan sihat, termasuk aktiviti belia.

Katanya, kertas cadangan mengenainya akan dikemukakan kepada Kabinet 6 Januari depan.

Sementara itu, lebih 80 peratus pertubuhan belia di negara ini tidak lagi diterajui oleh pemimpin berusia lebih 40 tahun apabila Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 dikuatkuasakan awal bulan depan.

"Peralihan kuasa kepada pemimpin lebih muda berjalan dengan baik. Pemimpin yang baik bukan kerana lama memegang jawatan tetapi bagaimana dia membina satu proses kesinambungan yang berkesan dalam pertubuhan," katanya yang mengakui ada pemimpin pertubuhan belia berusia lebih 70 tahun hingga menjadikan pertubuhan itu tidak relevan dan sukar didekati golongan belia.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...