Pages

Tuesday, August 4, 2009

Minuman berkarbonat undang barah pankreas

WASHINGTON: Pengambilan kerap makanan dan minuman manis bukan sekadar menyebabkan seseorang menghidap diabetes tetapi turut meningkatkan risiko diserang barah pankreas, menurut kajian Institut Karolinska.


Ia menyatakan kekerapan meminum minuman berkarbonat, buah-buahan berkrim dan gula tinggi dalam kopi ialah tiga cara biasa meningkatkan risiko itu.

Barah pankreas ialah satu bentuk barah paling serius yang berlaku apabila organ itu mengeluarkan tahap insulin tinggi berpunca daripada gangguan metabolisme glukos.

Cara paling berkesan menambah pengeluaran insulin ialah dengan memakan banyak gula.

Bagaimanapun, buat kali pertama saintis menunjukkan pengambilan tinggi makanan dan minuman manis membuka peluang seseorang itu diserang barah pankreas.

Kajian bermula pada tahun 1997 apabila saintis mengadakan tinjauan pemakanan terhadap hampir 80,000 wanita dan lelaki yang sihat.

Kumpulan berkenaan diawasi sehingga Jun 2005. Menurut pendaftaran barah, 131 orang dari kumpulan itu menghidap barah pankreas.

Penyelidik kini mampu menunjukkan bahawa risiko menghidap barah pankreas berkaitan dengan jumlah gula di dalam pemakanan.

Golongan paling berisiko ialah mereka yang banyak meminum minuman berkarbonat atau minuman berasaskan sirap.

Kumpulan yang berkata mereka meminum produk seumpama itu dua kali sehari atau lebih 90 peratus berisiko berbanding mereka yang langsung tidak mengambil minuman itu.

Mereka yang menambah gula dalam makanan atau minuman seperti kopi sekurang-kurangnya lima kali sehari, berisiko 70 peratus lebih tinggi berbanding mereka yang tidak berbuat demikian.

Golongan yang memakan buah-buahan berkrim sekurang-kurangnya sekali sehari juga berisiko tinggi – mereka menghidap penyakit itu 50 peratus lebih kerap berbanding mereka yang tidak memakannya.

"Di sebalik hakikat peluang mendapat barah pankreas amat kecil, amat penting untuk mengetahui lebih mendalam mengenai faktor risiko di balik penyakit itu.

"Ia mungkin bentuk barah paling serius dengan ramalan teruk bagi mangsanya. Oleh kerana ia sukar dirawat dan sudah terlalu lewat apabila ditemui, amat penting bagi kita mengetahui cara menghalangnya," kata Susanna Larson, salah seorang penyelidik yang terbabit dalam kajian itu. – Agensi

Sumber: Berita Minggu ( 12 Nov 2006)

p/s: kpd kwn2 pok2 kelate kurangkn mkn gula deh :)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...