Pages

Monday, October 5, 2009

Facebook Membunuh Rakyat Palestin?

Facebook Membunuh Rakyat Palestin?
www.iLuvislam.com
Nur Syamimi Mohamad Napis
Editor : Im Koyube


Kini, anak kecil yang dibangku sekolah rendah pun sudah tahu menggunakan perkhidmatan internet, kerana segalanya di hujung jari. Seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun di tanya, "Mengapa guna internet? Adakah sebarang kerja sekolah yang diberi oleh guru yang memerlukan adik untuk menggunakan internet?" Balasnya, "Tidak. Saya nak tengok gambar kakak dan abang saya di luar negara sana." Ditanya kembali, "Bagaimana?". Di balas, "Tengok dekat Facebook atau Friendster mereka." Zaman ini amat mudah. Walau jauh beribu kilometer, jika rindu, hanya sekali klik dan beberapa taipan di papan kunci (keyboard), rindu yang terpalit di hati pasti terubat.

Facebook. Jika ada yang tidak pernah dengar perkataan tersebut, agak mustahil. Tetapi, jika ada yang tidak mempunyai akaun pada laman tersebut, bukanlah suatu yang pelik. Jika dulu, kalau orang bertanya, kenapa diri tak punya akaun Facebook? Mungkin ada yang menjawab, "tak perlu sangat kot." Tapi kini, jika soalan yang sama di ajukan, ada yang menjawab dengan jawapan yang agak simbolik, "sebab tak nak bunuh orang Palestin!". Bagi mereka yang tidak tahu hujung pangkal, pastinya pernyataan tersebut akan membawa kepada seribu satu persoalan, yang seharusnya dirungkaikan satu demi satu.

Semua sedia maklum bahawa laman tersebut di asaskan oleh seorang anak muda berbangsa Yahudi-Amerika, iaitu Mark Zuckerberg. Mengupas peribadi beliau, beliau ialah salah seorang pelajar yang pernah menuntut di universiti yang terulung di dunia, iaitu University Harvard. Namun begitu, di atas kesalahan yang yang telah dilakukan oleh beliau, akhirnya, beliau telah meninggalkan zaman pengajian beliau di institut pengajian tersebut.

Apa yang menyebabkan terdapatnya dakwaan yang mengatakan Facebook memberi sumbangan kepada pembunuhan rakyat di Palestin adalah kerana Mark, sebagai CEO, merupakan salah seorang ahli aktif di dalam Alpha Epsilon Pi Fraternity (AEPi). AEPi adalah sebuah persatuan yang di anggotai oleh mereka yang berketurunan Yahudi Amerika Utara. Fungsinya lebih kurang sama seperti persatuan-persatuan biasa lain, dan diantaranya adalah menjaga kebajikan ahli-ahli. Berdasarkan kepada laman AEPi, persatuan ini sering memberi bantuan dari segi kewangan kepada beberapa pertubuhan yang menyokong kepada Israel. Salah sebuahnya adalah American Israel Public Affairs Committee (AIPAC).

AIPAC secara umumnya adalah sebuah jawatankuasa yang membantu Israel supaya sentiasa mendapat sokongan kuat daripada Amerika. Antara kejayaan yang telah dibawa oleh AIPAC termasuklah membuat beberapa resolusi bagi menyokong dan mempertahankan hak Israel dalam menghadapi puak terrorist, yang dinamakan mereka sebagai Hamas dan Hizballah[1]. Sebagaimana kita mempercayai dan meletakkan harapan yang tinggi kepada para remaja/ belia, begitu juga dengan mereka. Pertubuhan ini percaya bahawa kunci kepada kekukuhan hubungan US-Israel pada masa hadapan adalah dengan mendidik para pemimpin belia yang ada hari ini. Justeru itu, mereka mewujudkan ‘AIPAC on Campus'. Program latihan AIPAC (AIPAC's training program) bekerjasama dengan sekolah-sekolah tinggi (high school), dan pelajar-pelajar universiti (sama ada undergraduate ataupun postgraduate) dalam melatih para pelajar bagaimana untuk mengukuhkan hubungan US-Israel melalui penglibatan di dalam bidang politik[2]. Program ini dinamakan sebagai AIPAC's Political Leadership Development Program. Pemimpin-pemimpin muda ini juga akan turut dilatih untuk menjadi seorang yang pro-Israel[3]. Disebutkan juga di dalam laman web AEPi, bahawa ramai pemimpin terbaik AEPi bergiat aktif dalam AIPAC di kampus mereka[4]. Melalui penerangan-penerangan diatas, dapat dilihat bahawa terdapat kerjasama di antara AEPi dan AIPAC.

AEPi juga adalah sebuah pertubuhan yang memerlukan komitmen daripada ahli-ahlinya sepanjang hayat. Alumni AEPi adalah antara mereka yang akan memberikan sumbangan kepada pertubuhan ini sama ada dari segi kewangan, mahupun kepakaran[5]. Disebabkan hal ini, ada pihak yang mendakwa bahawa Mark Zuckerberg, sebagai salah seorang alumni AEPi, secara tidak langsung terlibat dalam menyediakan ‘kemudahan' kepada pihak Israel untuk terus menyerang Palestin.


Jadi, bagaimana pula Facebook boleh menyumbang kepada Israel sedangkan ianya hanyalah sebuah laman yang menawarkan perkhidmatan percuma kepada pengguna yang mahu mendaftar? Dari mana datangnya sumber kewangan Facebook seperti yang diwar-warkan? Sebagaimana laman web lain yang menyediakan bahagian untuk pengiklanan di laman mereka, begitu juga dengan Facebook. Melalui iklan-iklan tersebut, secara tidak langsung akan menjana pendapatan kepada Facebook. Apabila sesuatu iklan dipaparkan di sebuah laman web, pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan iklan tersebut perlu membuat bayaran diatas ruang yang di'sewa'. Terdapat beberapa sistem yang digunakan sebagai cara bayaran bagi sesebuah iklan di Facebook[6]. Salah satu sistem yang digunakan adalah Pay per click (PCP)[7]. Melalui sistem ini, pemilik ruang sewa akan dibayar sewa iklan berdasarkan bilangan kunjungan yang diterima oleh sesebuah laman, melalui iklan yang di paparkan. Jika banyak kunjungan yang diterima, maka bayaran yang akan diterima oleh pemilik ruang sewa juga akan meningkat. Sistem lain yang digunakan adalah Pay per Impression[8]. Bagi sistem ini pula, pemilik ruang sewa akan dibayar sewa bagi setiap kali iklan dipaparkan di laman mereka. Terdapat laman web yang menggilirkan paparan iklan di laman mereka disebabkan oleh banyaknya mendapat tempahan iklan dengan keadaan ruang sewa yang terhad. Maka, di dalam suatu masa, hanya beberapa iklan sahaja yang akan dipaparkan.

Berdasarkan kedua-dua sistem pengiklanan ini, kedua-duanya akan memberi manfaat kepada pemilik ruang sewa, tambahan pula, jika laman tersebut sentiasa mendapat kunjungan yang ramai daripada para pengguna internet. Ianya dapat dilihat di laman tersebut sendiri. Facebook menawarkan harga pengiklanan serendah US $1 satu hari[9]. Jika satu hari 100 orang pengguna Facebook tertarik dengan iklan yang dipaparkan di Facebook, dan langsung mengambil langkah untuk ke laman web tersebut, maka, akan menyumbanglah dia kepada peningkatan ekonomi Facebook.

Selain itu, Facebook turut menjana ekonomi dengan aplikasi-aplikasi yang terdapat di dalamnya. Bagi setiap aplikasi yang direka dan dihantar oleh pengguna, Facebook mengenakan bayaran terhadapnya. Bayaran tersebut tertakluk kepada status penghantar aplikasi, seperti golongan pelajar sama ada golongan bekerjaya. Harga yang paling rendah ditawarkan adalah kepada golongan pelajar iaitu sebanyak $175[10].

Seperti mana laman-laman web yang terdapat di alam maya ini, Facebook juga berhak mendapatkan keuntungan diatas perkhidmatan yang telah mereka berikan kepada masyarakat, terutamanya para penggunanya. Ada sesetengah pihak yang menggunakannya sebagai salah satu cara untuk mengekalkan hubungan dengan kaum keluarga mahupun sahabat handai. Malah, ada juga segelintir yang menjadikannya sebagai medan dakwah. Walaupun sepotong ayat ditulis, jika dicampakkan oleh Allah hidayah ke dalam hati seseorang, tidak mustahil dakwah itu akan menampakkan kesannya, walaupun ada yang mengatakan alasan dakwah itu sebagai yang lapuk.

Orang-orang awam dan pengguna seperti kita, sukar untuk mengetahui kebenaran disebalik dakwaan-dakwaan yang dibuat. Satu demi satu maklumat dicungkil untuk melihat perkaitan Facebook dengan organisasi-organisasi yang terlibat dalam usaha ‘menghilangkan' Palestin daripada peta dunia. Hakikatnya kita hanyalah pengguna Facebook yang berusaha untuk memanfaatkan kemudahan yang ada. Juga, jika ketika sesi pendaftaran pengguna (user sign up) dilakukan, tertulis disitu ‘Facebook menyokong Zionisme', adalah suatu yang mustahil pengguna Facebook akan meningkat kepada angka yang ada seperti hari ini[11].

Hari ini, jika di lihat dan di cari melalui enjin pencari (search engine), banyak dakwaan yang menunjukkan hasil ekonomi yang diperoleh daripada Facebook menyumbang kepada Zionis yang bertapak di Israel. Antaranya adalah apabila Mark Zuckerberg turut tersenarai sebagai selebriti yang hadir ke perayaan sambutan ke-60 Israel pada tahun 2008[12]. Bagi menentukan kebenarannya, tentu sahaja bukan mudah, kerana seseorang mampu untuk berbuat apa sahaja bagi melindungi diri sendiri. Namun, kita sedar bahawa pokok tidak akan bergoyang jika tiada angin. Apa yang perlu ialah sentiasa berhati-hati. Gunakan Facebook sebaik mungkin. Jika dakwaan mengatakan hanya dengan sekali log in, kita telah menyumbang kepada kekayaan Facebook, maka, kurang kan ‘kemasukan' kita ke dalam Facebook. Apabila benar-benar terasa ada kepentingannya, barulah log in. Jika terasa tidak bertambah amal dalam diri, elakkan daripada melakukannya. Hal ini adalah kerana, segala perubahan terletak pada diri kita. Masih banyak urusan di luar sana yang perlu kita lakukan, selain untuk selalu log in ke dalam Facebook.

Kata-kata yang dipetik daripada pencarian di internet hari ini, ‘log out and get a life outside there... see the skies!'

Tidakkah mereka memerhatikan burung-burung yang mengembangkan dan mengatupkan sayapnya di atas mereka? Tidak ada yang menahannya (di udara) selain Yang Maha Pengasih. Sungguh, Dia Maha Melihat segala sesuatu[13].






Disediakan oleh,
Nur Syamimi Mohamad Napis
Setiausaha Media I iLuvislam.com

Tuesday, September 29, 2009

Guru tidak dibenar simpan janggut

DUSHANBE 28 Sept. - Guru-guru yang berusia bawah 50 tahun di Tajikistan tidak lagi dibenarkan menyimpan janggut, namun dibenarkan untuk mengajar dengan memakai but hujan, menurut peraturan baru kerajaan yang dikeluarkan hari ini.

“Lelaki yang berusia lebih 50 tahun dibenarkan menyimpan janggut yang panjangnya tidak melebihi tiga sentimeter, manakala golongan muda pula mesti tampil kemas,” menurut salinan dekri kementerian pelajaran yang dilaporkan secara meluas oleh akhbar tempatan.

“Manakala untuk kasut, apa-apa sahaja kasut yang bertutup penuh adalah dibenarkan, termasuk kasut pelapis,” tambahnya.

Tajiskistan, sebuah negara miskin di Asia Tengah yang bersempadan dengan Afghanistan berkata, peraturan tersebut merupakan sebahagian daripada pembaharuan pendidikan yang bertembung dengan mentaliti dan cara hidup rakyat tempatan.

Mereka yang berjanggut panjang sering dicurigai oleh pihak kerajaan dan pernah mencetuskan perang saudara terhadap orang Islam pada tahun 1990-an, menyebabkan berpuluh-puluh ribu kematian selain menghancurkan ekonomi negara itu.

Kasut pelapis dan sepasang but kalis air yang diperbuat daripada getah sangat popular di kalangan petani di luar bandar dan dilihat sebagai keperluan yang mampu melindungi dari hujan yang sering melanda negara bergunung-ganang tersebut. - AFP

Thursday, August 13, 2009

sEmUAnya MiLikNYA...

USTAZ Asri Ibrahim, ketua kumpulan nasyid Rabani yang rebah sewaktu sidang akhbar Rancangan Syuhada di Angkasapuri RTM dibawa ke Pantai Medical Centre sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 11pagi tadi

Hari ini tepat jam 11am telah perginya sebutir permata menghadapNYA....


Ust Asri atau nama penuhnya Asri Ibrahim, 40 ketua kumpulan nasyid Rabbani meninggal dunia di Hospital Pantai akibat serangan sakit jantung..


AL-FATEHA....


Untuk Renungan Bersama....


TANDA-TANDA KEMATIAN UNTUK ORANG ISLAM

(KURSUS PENYELENGGARAAN JENAZAH OLEH USTAZ ABDULLAH MAHMUD -KOR AGAMA TENTERA DARAT DI SURAU ANSAR,LORONG KIRI 5,JALAN DATUK KERAMAT,KUALA LUMPUR)

Adapun tanda-tanda kematian mengikut ulamak adalah benar dan ujud cuma amalan dan ketakwaan kita sahaja yang akan dapat membezakan kepekaan kita kepada tanda-tanda ini. Rasulallah SAW diriwayatkan masih mampu memperlihat dan menceritakan kepada keluarga dan sahabat secara lansung akan kesukaran menghadapi sakaratulmaut dari awal hinggalah akhirnya hayat Baginda. Imam Ghazali rahimahullah diriwayatkan memperolehi tanda-tanda ini sehinggakan beliau mampu menyediakan dirinya untuk menghadapi sakaratulmaut secara sendirian. Beliau menyediakan dirinya dengan segala persiapan termasuk mandinya, wuduknya serta kafannya sekali cuma ketika sampai bahagian tubuh dan kepala sahaja beliau telah memanggil abangnya iaitu Imam Ahmad Ibnu Hambal untuk menyambung tugas tersebut. Beliau wafat ketika Imam Ahmad bersedia untuk mengkafankan bahagian mukanya. Adapun riwayat -riwayat ini memperlihatkan kepada kita sesungguhnya Allah SWT tidak pernah berlaku zalim kepada hambanya.Tanda-tanda yang diberikan adalah untuk menjadikan kita umat Islam supaya dapat bertaubat dan bersedia dalam perjalanan menghadap Allah SWT. Walaubagaimanapun semua tanda-tanda ini akan berlaku kepada orang-orang Islam sahaja manakala orang-orang kafir iaitu orang yang menyekutukan Allah nyawa mereka ini akan terus direntap tanpa sebarang peringatan sesuai dengan kekufuran mereka kepada Allah SWT.Adapun tanda-tanda ini terbahagi kepada beberapa keadaan :


Tanda 100 hari sebelum hari mati.

Ini adalah tanda pertama dari Allah SWT kepada hambanya dan hanya akan disedari oleh mereka-mereka yang dikehendakinya. Walaubagaimanapun semua orang Islam akan mendapat tanda ini cuma samada mereka sedar atau tidak sahaja. Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar. Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami getaran atau seakan-akan mengigil. Contohnya seperti daging lembu yang baru disembelih dimana jika diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati daging tersebut seakan-akan bergetar. Tanda ini rasanya lazat dan bagi mereka sedar dan berdetik di hati bahawa mungkin ini adalah tanda mati maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran tanda ini. Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian , tanda ini akan lenyap begitu sahaja tanpa sebarang munafaat. Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda ini maka ini adalah peluang terbaik untuk memunafaatkan masa yang ada untuk mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah mati.


Tanda 40 hari sebelum hari mati

Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arash Allah SWT. Maka malaikatmaut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita antaranya ialah ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa. Akan terjadi malaikatmaut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika. Adapun malaikatmaut ini wujudnya cuma seorang tetapi kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya.


Tanda 7 hari

Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba-tiba ianya berselera untuk makan.


Tanda 3 hari


Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu diantara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti. Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu dimana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam. Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.


Tanda 1 hari

Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.Tanda akhirAkan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikatmaut untuk menjemput kita kembali kepada Allah SWT yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula.


PENUTUP

Sesungguhnya marilah kita bertaqwa dan berdoa kepada Allah SWT semuga kita adalah di antara orang-orang yang yang dipilih oleh Allah yang akan diberi kesedaran untuk peka terhadap tanda-tanda mati ini semoga kita dapat membuat persiapan terakhir dalam usaha memohon keampunan samada dari Allah SWT mahupun dari manusia sendiri dari segala dosa dan urusan hutang piutang kita. Walau bagaimanapun sesuai dengan sifat Allah SWT yang maha berkuasa lagi pemurah lagi maha mengasihani maka diriwatkan bahawa tarikh mati seseorang manusia itu masih boleh diubah dengan amalan doa iaitu samada doa dari kita sendiri ataupun doa dari orang lain. Namun ianya adalah ketentuan Allah SWT semata-mata.

Oleh itu marilah kita bersama-sama berusaha dan berdoa semuga kita diberi hidayah dan petunjuk oleh Allah SWT serta kelapangan masa dan kesihatan tubuh badan dan juga fikiran dalam usaha kita untuk mencari keredhaan Allah SWT samada di dunia mahupun akhirat. Apa yang baik dan benar itu datangnya dari Allah SWT dan apa yang salah dan silap itu adalah dari kelemahan manusia itu sendiri. WALLAHUA`LAM


p/s: adakah kte telah bersedia untuk menghadapNYA..renung2kn...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...