Dalam laman sosial seperti 'Facebook', selalu juga saya terlihat status rakan-rakan yang mengadu sakit, tidak sihat dan sewaktu dengannya. Apa yang saya mampu adalah untuk menitipkan doa kepada mereka agar sembuh seperti sediakala dan SABAR ketika sedang mengalami kesakitan. Namun begitu tersentuh juga melihat beberapa rakan yang begitu memarahi dirinya kerana sakit, lebih teruk lagi ada yang memaki kerana sakit yang ditanggungnya.
Sebenarnya, sebagai seorang ISLAM kita ditegah sama sekali untuk mengeluh atau memarahi, apatah lagi memaki diri yang sedang sakit. Ini kerana sakit itu sendiri adalah satu peringatan dari ALLAH kepada kita sebagai hamba-NYA. Ini jelas dinyatakan dalam AL QURAN:
"Dan sesungguhnya Kami telah mengutus (rasul-rasul) kepada umat-umat yang sebelum kamu, kemudian Kami siksa mereka dengan (menimpakan) kesengsaraan dan kemelaratan, supaya mereka bermohon (kepada Allah) dengan tunduk merendahkan diri"(Surah Al An'am, ayat 42).
Dalam ayat ini jelas ALLAH telah menerangkan bahawa kita menilai kembali diri kita, mengingati ALLAH yang merupakan pemilik segala kenikmatan yg kita nikmati dalam hidup kita ini. Oleh kerana itu, mengapa harus kita memaki kerana SAKIT? Begitu juga dengan jelas dinyatakan dalam Surah Yusuf:
"(Nabi Yaakub) menjawab:Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah dan aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya."(Surah Yusuf ayat 86).
Ayat diatas juga jelas menyatakan bahawa kita dituntut untuk memohon doa kepada ALLAH sekiranya ditimpa sebarang kesusahan dan dukacita (sakit),bukan dengan cara memarahi atau memaki hamun kesakitan yang kita alami, itu sama sekali seperti kita menyalahkan ketentuan yang sudah ditentukan oleh ALLAH kepada kita. Siapa lagi kalau bukan ALLAH yang menentukan takdir kita?
Keluhan ketika sakit itu tidaklah dilarang, dengan syarat keluhannya itu tidaklah menunjukkan rasa kesal, kecewa atau yg sewaktu dengannya sehingga dia menyalahkan segala ketentuan terhadap dirinya. Hal ini juga telah jelas dinayatkan dalam sebuah hadith:
Aisyah R.A pernah mengeluh dan mengadu kepada Rasulullah ketika sakit dengan berkata:" Aduh sakitnya kepalaku! Kata Nabi pula:"Aku juga, kepala Aku terasa sakit sekali! (Riwayat Bukhari & Muslim).
Namun apa yang pasti, segala perbuatan seperti memaki hamun penyakit yg dialami itu adalah jauh menyimpang dari ISLAM kerana ISLAM tidak pernah sama sekali mengajar kita untuk berkelakuan sedemikian, apatah lagi di dalam laman sosial! Sakit yang dialami juga merupakan salah satu bentuk pengampunan dosa, seperti yang dinyatakan dalam hadith:
"Tidak ada satu musibah pun yang menimpa diri seorang muslim, sama ada berupa kesusahan dan penderitaan, kesedihan dan duka cita mahupun penyakit, bahkan sebatang duri yang menusuk anggota tubuhnya sekalipun melainkan akan dihapuskan Allah sebahagian daripada kesalahan-kesalahannya dengan yang demikian itu." (Hadis Muttafaqun Alaih).
Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah bersabda:
"Sesiapa yang akan memperoleh limpahan kebaikan dari Allah, maka akan ditimpakan cubaan ke atas dirinya terlebih dahulu" (Hadis Muttafaqun alaih).
Mengapa perlu kita memaki hamun dengan kesakitan, walhal itulah salah satu cara untuk kita mendapatkan keampunan daripada ALLAH Taala? Perlukah sakit itu ditemani dengan perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya kita ungkapkan? SEBAB itulah kita dianjurkan utk mengucapkan ALHAMDULILLAH ketika sakit. Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim ada menyebut:
"Sungguh mengagumkan perkara seorang mukmin, sesungguhnya semua perkaranya menjadi kebaikan, dan hal itu tidak pernah terjadi kecuali bagi seorang mukmin: jika ia mendapat kesenangan, ia bersyukur, maka hal itu menjadi kebaikan baginya, dan jika ia mendapatkan musibah, ia bersabar, maka itu menjadi kebaikan baginya" (Hadith Riwayat Muslim).
Kita haruslah ingat akan sakit juga merupakan salah satu cara untuk kita memperingati MATI. ALLAH memberikan kita peluang untuk merasakan sakit sebagai salah satu persediaan menghadapi MATI, dimana jika amalan kita buruk (lalai daripada perintah ALLAH seperti SOLAT) , maka kesakitan yang ditanggung adalah pedih, sakit yang sangat-sangat kuat ketika Sakaratul Maut. Jika amalan kita sentiasa terjaga (walaupun ketika sakit) dan diterima-NYA, insyaALLAH akan mendapat pembalasan sebaik-baiknya. Sentiasalah berSABAR menghadapi segala ujian ALLAH termasuklah SAKIT, seperti sabda Rasulullah:
Dari Anas R.A, katanya: "Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:"Sesungguhnya Allah S.W.T berfirman:"Apabila seorang hamba mendapat cubaan dari-Ku pada dua perkara yang amat disayangi (kedua matanya) lalu bersabar, maka kelak akan Aku gantikan kesabarannya itu dengan syurga" (Hadis riwayat Al-Bukhari).
Mengucap ALHAMDULILLAH merupakan tanda kesyukuran kita ketika diuji oleh ALLAH Taala, juga tanda kesabaran kita menghadapi ujian-NYA.Kalimah ini bukan sahaja diungkapkan ketika kenyang atau senang hati, tapi disaat ALLAH menguji kita, perlu juga untuk mengucapkan kalimah ini sebagai tanda syukur kerana ALLAH memilih untuk menguji kita. Janganlah mudah menilai orang yang mengucapkan ALHAMDULILLAH ketika SAKIT itu sebagai BODOH atau GILA, kerana mungkin saja orang yang berkata sedemikian itu lebih tahu akan fadhilat menghadapi sakit ini. Sekiranya sakit, hendaklah berikhtihar utk mencari penawar yg sebaiknya. Kemudian berdoalah kepada ALLAH yg berKUASA menyembuhkan sebarang penyakit agar disembuhkan seperti sediakala dan memperoleh kesihatan yang baik. Semoga kita mendapat kesihatan yg baik dan sentiasa dalam rahmat ALLAH!